fb fb fb fb fb

Perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 diumum akhir September

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Perincian pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 bakal diumumkan menjelang akhir September 2025 selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Sehubungan itu, katanya kerajaan sedang giat membangun dan menguji mekanisme penyasaran subsidi bagi memastikan ia beroperasi secara lancar apabila dilaksanakan.

"Usaha ini termasuk memperhalusi data daripada agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

"Kerajaan berusaha memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh diterapkan supaya subsidi RON95 dapat meliputi kelompok yang disasarkan," katanya menerusi Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu status terkini pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 yang diumumkan oleh Kementerian Ekonomi berkenaan fasa front-end dan back-end.

Menurut MOF, seperti mana yang diumumkan, apabila penyasaran semula subsidi RON95 dilaksanakan melalui penggunaan MyKad, majoriti rakyat akan dapat menikmati harga RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter.

Mereka yang tidak layak untuk subsidi RON95 seperti bukan warganegara perlu membayar harga pasaran tanpa subsidi. -BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM