KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan bersama pakar ekonomi inovasi dan Pengarah Pengasas Institute for Innovation & Public Purpose (UCL), Profesor Dr. Mariana Mazzucato.
Datuk Seri Anwar dalam hantaran di Facebooknya menjelaskan pertemuan tersebut membincangkan tentang kepentingan strategi berorientasikan misi yang menggalakkan kerjasama awam-swasta bagi memacu pelaburan hijau, inovasi teknologi dan transformasi digital.
"Turut disentuh ialah keperluan memperkasa perkhidmatan awam yang moden dan tangkas sebagai tunjang kemajuan negara," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Profesor Mazzucato turut berkongsi pandangan bahawa Malaysia perlu menangani cabaran sistemik, memperkukuh strategi digital, memupuk inovasi dan membina kemahiran masa depan demi kejayaan transformasi jangka panjang negara.