fb fb fb fb fb

KKR nafi keluarkan surat berhubung bayaran gratuiti

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi/Foto Fail

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan isu tular berhubung kementeriannya telah mengeluarkan sepucuk surat bertarikh 28 Julai 2025 bagi bayaran gratuiti kepada seorang individu.

Beliau berkata surat itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan sama ada oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) atau beliau sendiri sebagai menteri.

“Kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang jemputan rasmi bagi majlis penyerahan bayaran gratuiti sedemikian.

"Sehubungan itu, saya menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan dokumen seumpama ini yang jelas mempunyai unsur penipuan dan penyamaran," kata kenyataan itu.

Jelas Nanta, kementeriannya telah mengambil maklum perkara itu dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang keraguan mengenai ketulenan dokumen atau komunikasi yang didakwa dikeluarkan oleh KKR dinasihatkan untuk menghubungi terus saluran rasmi kementerian.

Terdahulu, tular di media sosial surat pemberian gratuiti lebih RM26 juta kepada waris seorang individu dalam majlis yang akan diadakan esok di KKR, di sini. -BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM