fb fb fb fb fb

CAAM, MAVCOM dirasionalisasi berkuat kuasa 1 Ogos ini

Fungsi kawal selia industri penerbangan kini disatukan di bawah CAAM - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Jun – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan mula beroperasi sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB) berkuat kuasa 1 Ogos ini, sekali gus mengambil alih sepenuhnya fungsi pengawalseliaan ekonomi yang sebelum ini dikendalikan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan berkenaan pada 11 Jun lalu.

“Pada tarikh sama CAAM dan MAVCOM juga akan dirasionalisasi di mana semua fungsi kawal selia industri penerbangan termasuk aspek teknikal dan ekonomi akan disatukan di bawah satu entiti iaitu CAAM.

"Ia akan menjadikan CAAM satu-satunya badan kawal selia penerbangan negara yang lebih bersepadu dan cekap," katanya dalam sidang media khas Rasionalisasi CAAM & MAVCOM di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada agenda reformasi institusi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan struktur kawal selia.

Menurutnya, penstrukturan semula berkenaan memberi autonomi kewangan dan pengurusan kepada CAAM, membolehkan agensi tersebut membuat keputusan strategik dan merancang sumber manusia secara bebas.

Selain itu, ia turut meningkatkan kebolehan menarik bakat teknikal berkemahiran tinggi, khususnya Pegawai Teknikal Berkelayakan (QTP) yang amat penting bagi menjamin keselamatan industri penerbangan negara.

"Langkah ini juga menyokong sasaran Malaysia untuk menjadi hab penerbangan serantau dengan struktur kawal selia yang lebih efisien dan sejajar dengan piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," katanya

Anthony turut memaklumkan, seramai 57 kakitangan Mavcom yang bakal dibubarkan akan ditawar penempatan bersesuaian di CAAM berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka serta bakal menerima surat tawaran sekiranya bersetuju sebelum Ogos depan.

“Kementerian memberi jaminan kepada semua pemegang taruh, pemain industri dan rakyat Malaysia bahawa peralihan operasi ini akan dilaksanakan secara terancang, telus, dan berpandukan kepada prinsip tadbir urus terbaik.

“Semua pemegang taruh serta kakitangan akan dimaklumkan segala perubahan dan kesinambungan proses kerja dengan terperinci pada sesi libat urus yang akan dianjurkan oleh pihak CAAM,” katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK