SAMARKAND, 23 Jun - Malaysia berjaya menyediakan lebih 10,000 perkhidmatan kerajaan secara dalam talian, menerusi transformasi digital perkhidmatan awam, khususnya pelaksanaan bawah Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof berkata, perkhidmatan itu antara langkah dilaksana untuk memperkukuh sektor awam bagi memenuhi keperluan rakyat, sekali gus menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan.
Selain itu, beberapa tambah baik lain turut dilaksana termasuk fokus kepada aspek kebajikan penjawat awam.
"Kami mengurangkan beban pelesenan pada peringkat persekutuan dan negeri dengan hampir 60 peratus, dan menjimatkan lebih RM9 bilion melalui usaha pengurusan nilai dan pemansuhan lebih daripada 38,000 jawatan berlebihan. Ini menggariskan komitmen kami kepada tadbir urus berhemat dan penyampaian perkhidmatan yang cekap.
"Kebajikan dan profesionalisme penjawat awam tetap menjadi keutamaan. Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang baru diperkenalkan, berkuat kuasa Disember 2024, mencerminkan fokus berkenaan." katanya pada Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa Bersatu 2025 di sini.
Beliau berkata antara tonggak utama transformasi perkhidmatan awam di Malaysia dengan mengangkat nilai penjawat awam iaitu HEMAT yang diperkenalkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Katanya, bagi melengkapkan usaha tersebut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melancarkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang tertumpu kepada tadbir urus berasaskan pelbagai perkara termasuk nilai, pembangunan modal insan dan kerjasama sektor awam-swasta.