fb fb fb fb fb

MOT pandang serius kes kecurian kabel

PDRM diminta bertindak tegas terhadap kes kecurian kabel di tapak projek ECRL - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Jun – Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius kes kecurian kabel terutamanya dalam projek berskala besar seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menterinya, Anthony Loke menegaskan kes berkenaan perlu ditangani dengan lebih tegas kerana ia bukan sekadar jenayah biasa, tetapi satu ancaman kepada keselamatan awam dan negara.

Tegasnya, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang menjejaskan kepentingan awam.

2306 NSL ANTHONY LOKE ECRL CURI KABEL 1Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai CAAM dan MAVCOM di Putrajaya, hari ini - Foto BERNAMA

“Saya telah hubungi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan meminta agar pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas.

“Saya juga secara terbuka sebelum ini meminta pihak polis agar tidak hanya melihat perkara ini sebagai kesalahan mencuri biasa, kerana ia melibatkan keselamatan umum. Maka, tindakan di bawah undang-undang yang lebih ketat perlu diambil," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan mencuri kabel membabitkan projek ECRL juga boleh memberi kesan serius terhadap perancangan, keselamatan sistem pengangkutan, serta menjejaskan jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pihak Malaysia Rail Link (MRL) yang menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa kes kecurian kabel di sepanjang jajaran ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan peningkatan kos penggantian dan pembaikan, tetapi turut mengancam jadual ujian dan pentauliahan tren yang dijadualkan bermula pada Jun 2026, menjelang penyempurnaan projek pada Disember 2026.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK