FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR, 25 Januari - Sumber kewangan sosial Islam perlu diteroka secara menyeluruh bagi mendapat pulangan hasil yang lebih baik dalam mendepani cabaran tidak terjangka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memberitahu kebergantungan kepada kutipan zakat semata-mata dikhuatiri tidak dapat menampung keperluan semasa berikutan jumlah asnaf yang semakin meningkat akibat desakan hidup.
"Potensi sumber sosial kewangan Islam amat besar dan jika usaha ini diteruskan dan dilaksanakan terutamanya dalam rangka lebih besar peringkat serantau, ia diyakini dapat membolehkan umat Islam serantau menerima manfaat yang banyak.
"Pengalaman negara Malaysia dalam konteks kewangan sosial Islam terbukti berjaya seperti penubuhan Tabung Haji yang telah mendapat keuntungan hingga berbillion ringgit setiap tahun.
"Agensi kewangan sosial Islam perlu meneroka sumber yang lain seperti waqaf, hasil sumber am dan hasil sedekah untuk meningkatkan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi masyarakat Islam," katanya ketika berucap merasmikan Webinar Serantau Kewangan Sosial Islam: Cabaran Dan Peluang Semasa Dan Pasca Pandemik COVID-19 Tahun 2022 secara langsung di laman facebook rasmi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Webinar disertai 1,000 peserta termasuk anggota delegasi MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik, Singapura).
Ia merupakan medium perkongsian pengalaman dan idea bidang kewangan sosial Islam dalam kalangan negara-negara MABIMS dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap sumber zakat semata-mata.