KLIA, 25 Januari - Hubungan baik Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu, UAE, terus diperkukuh menerusi sumbangan vaksin COVID-19.
500,000 dos vaksin yang tiba hari ini, merupakan fasa pertama daripada 1 juta vaksin yang bakal diterima, bagi mempertingkat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, PICK.
Vaksin berkenaan dibawa dengan penerbangan komersial Emirates, selamat tiba di KLIA terus dari Dubai, UAE, kira-kira pukul 2.30 petang.
Dalam upacara ringkas, vaksin diserahkan Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar UAE, Nouf Ibrahim Ali Rashed AlKuwaiti, kepada Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Jelas Nouf Ibrahim, UAE komited dalam membantu Malaysia menangani pandemik COVID-19.
Bagi pihak kerajaan Malaysia, Datuk Seri Saifuddin merakamkan penghargaan kepada UAE.
Menurut beliau, sumbangan ini, amat bermakna, dalam mempertingkat kadar vaksinasi rakyat Malaysia, ke arah membendung penularan COVID-19.