KUALA LUMPUR, 12 Julai- Komitmen Malaysia meneroka pasaran baharu di Eropah dan benua Latin, bukti kesungguhan negara mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS).
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad optimis, langkah proaktif berkenaan mampu memperkukuh kedudukan dagangan negara di peringkat global.
Strategi berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global seperti tarif perdagangan itu juga mampu menjamin kelangsungan eksport negara sekali gus menyumbang kepada kestabilan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam jangka masa panjang.
"Dalam masa yang sama, usaha turut digiatkan untuk menjalin hubungan yang lebih diplomatik dalam aspek perdagangan bersama negara-negara di Eropah serta di benua Latin.
Langkah ini amat penting bagi memastikan kesinambungan pendapatan hasil eksport dapat diteruskan dan ditingkatkan, seterusnya menyumbang secara positif kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," kata Dr. Bashir Ahmad kepada pemberita RTM secara eksklusif, hari ini.
Sebelum ini, AS mengumumkan langkah untuk mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus bermula 1 Ogos terhadap beberapa produk dari negara-negara membangun termasuk Malaysia.
Tarif baharu itu dijangka memberi kesan langsung terhadap sektor eksport utama Malaysia seperti elektrik dan elektronik, tekstil, serta minyak mentah, antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.