JELI, 12 Julai - Keadaan lima pelajar Malaysia yang memilih untuk terus tinggal di Iran sentiasa dipantau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya difahamkan pelajar-pelajar berkenaan memilih untuk tidak pulang ke tanah air kerana mahu meneruskan pengajian mereka selain sudah berkeluarga.
"Kerajaan telah memberi ruang dan menyatakan hasrat akan membantu mereka sekiranya mahu pulang.
"Bagaimanapun kerajaan sentiasa memantau kedudukan rakyat malaysia dimana sahaja mereka berada sama ada mereka berdaftar atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Perwakilan Jeli, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan hanya lima rakyat Malaysia masih berada di Iran kerana pilihan sendiri.
Kesemua mereka menandatangani surat aku janji untuk kekal di Iran meskipun sebelum ini kerajaan menggesa supaya kesemua rakyat yang berada di sana meninggalkan negara terbabit berikutan konflik yang semakin meruncing.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Zambry memaklumkan tiga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Perak 9 Jun lalu sudah kembali meneruskan pengajian mereka.
Beliau berkata, setakat ini hanya seorang yang masih lagi menerima rawatan di hospital, manakala selebihnya meneruskan pengajian dalam talian di rumah masing-masing.
Jelasnya, tiada dalam kalangan mereka yang cedera terlibat dalam nahas tersebut menangguhkan pengajian.
Dalam kejadian 9 Jun lalu, seramai 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Kemalangan itu mengakibatkan 33 yang lain cedera.