fb fb fb fb fb

ASEAN, Korea Selatan perkukuh kerjasama dalam teknologi dan keselamatan siber

Barisan pemimpin dunia di Sidang Kemuncak ASEAN–Korea Selatan./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – ASEAN dan Korea Selatan akan memperkukuh kerjasama bawah kerangka Perkongsian Strategik Menyeluruh, dengan tumpuan kepada pemindahan teknologi, pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkongsian yang telah terjalin lebih tiga dekad itu kekal penting memandangkan hubungan dagangan dan pelaburan yang kukuh antara rantau ini dengan Seoul.

“Hubungan ASEAN dengan Korea Selatan telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Menyeluruh (Comprehensive Strategic Partnership) kerana hubungan dagang antara kedua-dua pihak amat besar. ASEAN mahu hubungan dua hala ini terus dipertingkatkan, khususnya dalam bidang pemindahan teknologi, kerjasama AI dan pertukaran maklumat berkaitan jenayah siber,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN–Korea Selatan di sini hari ini.

Datuk Seri Mohamad menambah walaupun tiada perjanjian baharu dimeterai, kedua-dua pihak telah mengeluarkan Kenyataan Bersama yang menggariskan bidang kerjasama utama untuk dilaksanakan oleh peringkat pegawai.

Beliau berkata usaha itu mencerminkan komitmen berterusan ASEAN memperkukuh perkongsian serantau dalam bidang inovasi dan pertumbuhan digital.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI