fb fb fb fb fb

KKR peruntuk RM24.95 juta pasang lampu di 258 lokasi seluruh negara

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Kerajaan memperuntuk RM24.95 juta bagi pemasangan lampu jalan di 258 lokasi jalan persekutuan seluruh negara pada 2025 bagi meningkatkan keselamatan pengguna di laluan berisiko.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, 26 lokasi melibatkan jalan persekutuan di Perak dengan kos keseluruhan RM2.6 juta.

"Penyelenggaraan lampu jalan di FT1157 berjumlah RM150,000 bagi tahun 2025 untuk memperbaiki lampu dan kabel rosak, terutama di jalan sepanjang 30 kilometer dan kerja pembaikan telah siap pada 31 Jun lalu," katanya ketika di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) menitikberatkan aspek keselamatan jalan raya melalui program menaik taraf infrastruktur.

Ini termasuk pemasangan lampu di lokasi berisiko seperti persimpangan, selekoh dan jambatan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata kementeriannya akan meneliti cadangan memasang beberapa lampu tambahan di laluan berisiko di sempadan Malaysia–Thailand.

“Kita akan pertimbangkan pemasangan tambahan 30 lampu solar pada 2026 dengan anggaran kos RM300,000 tertakluk kepada kelulusan bajet,” katanya ketika menjawab soalan asal Fathul Huzir Ayob (PN–Gerik) mengenai status Bajet 2026 berhubung pemasangan lampu jalan di Jalan Persekutuan FT1157 di sempadan Malaysia–Thailand.

Beliau menambah, sebanyak 50 lokasi di seluruh negara telah dilaksanakan di bawah program berkenaan dengan kos RM5.5 juta.

KKR menerima RM10. 35 bilion peruntukan keseluruhan bagi tahun 2025 dalam Belanjawan 2025.

GRACE AISYAH KEDAYAN