PUTRAJAYA, 27 Oktober – Malaysia telah memulakan langkah awal memperkukuh hubungan telekomunikasi dengan Timor-Leste, sejurus negara itu diterima sebagai anggota ASEAN ke-11.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat-syarikat telekomunikasi utama negara telah ke Timor-Leste bagi membincangkan pelaksanaan ASEAN Roaming di negara tersebut.
"Ini berjaya kita lakukan sejak 17 Oktober lalu, jadi tidak perlu menunggu termeterainya memorandum persefahaman (MoU)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Datuk Fahmi berkata selain kerjasama dalam bidang telekomunikasi, Malaysia turut membantu Timor-Leste mengukuhkan keselamatan dalam talian dengan mengatur pertemuan antara Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste dengan syarikat teknologi global.
“Saya telah bantu menghubungkan beliau dengan Meta, TikTok dan Google semalam, dan saya percaya sebagai anggota ASEAN baharu, Timor-Leste bersedia untuk bersama-sama memastikan internet yang lebih selamat,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama media turut menjadi elemen penting dalam hubungan dua hala tersebut, apabila agensi media Malaysia seperti Bernama dan RTM akan bekerjasama rapat dengan Radio e Televisão de Timor-Leste (RTTL) serta agensi berita rasmi Timor-Leste, Tatoli.
“Hubungan antara Bernama, RTM dengan RTTL dan Tatoli akan menjadi jambatan untuk kita saling bertukar maklumat, rakyat mereka dapat mengetahui perkembangan di Malaysia, dan rakyat kita pula memahami cerita dari Timor-Leste,” katanya.
Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ASEAN ke-11 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula minggu ini di Kuala Lumpur, membuka ruang baharu kerjasama dalam bidang ekonomi, telekomunikasi dan penyiaran antara kedua-dua negara.