ASEAN disaran contohi Malaysia dalam memerangi rasuah

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – ASEAN disaran menjadikan Malaysia sebagai model reputasi dalam memerangi rasuah, berikutan kejayaan negara ini mengekalkan komitmen terhadap tadbir urus yang berintegriti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dicadangkan jadi model reputasi memerangi rasuah di ASEAN kerana komitmen kepada tadbir urus berintegriti.
  • Pengukuhan integriti dianggap teras bagi menarik pelabur dan mengukuhkan hubungan dagangan antarabangsa.
  • Inisiatif termasuk modul integriti penjawat awam, Akta Liabiliti Korporat, dan ISO 37001 sebagai contoh praktik terbaik.
  • Keputusan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah mencerminkan komitmen berterusan dan sokongan kepimpinan nasional.

Pegawai Integriti Bertauliah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dr. Muhammad Shamsinor Abdul Azzis berkata usaha memperkukuh integriti perlu menjadi teras kepada kebangkitan ASEAN dalam menarik keyakinan pelabur serta mengukuhkan hubungan dagangan antarabangsa.

Menurutnya, langkah tersebut amat penting bagi menjamin kestabilan ekonomi dan keutuhan institusi di rantau ini.

2710 ASEAN INTEGRITI 2Dr. Muhammad Shamsinor Abdul Azzis/RTM

“Kedudukan Malaysia di tempat kedua dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) ASEAN menunjukkan komitmen berterusan terhadap tadbir urus yang berintegriti, selaras dengan perjuangan Perdana Menteri dalam memerangi rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Grandstand ASEAN di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Tambah Dr. Muhammad Shamsinor, pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti modul pengukuhan integriti penjawat awam, Akta Liabiliti Korporat, serta pensijilan sistem antirasuah ISO 37001, wajar dijadikan contoh dalam meningkatkan kesedaran dan budaya menolak rasuah dalam kalangan negara anggota ASEAN.