fb fb fb fb fb

RCEP tonggak ketahanan ekonomi serantau - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/RTM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kekal signifikan sebagai tonggak utama pemulihan dan ketahanan ekonomi serantau, dibuktikan menerusi keberkesanannya dalam menerajui aktiviti perdagangan serta pelaburan yang kukuh pasca pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Sidang Kemuncak RCEP ke-5 sebagai amat bermakna memandangkan ia merupakan pertemuan bersemuka pertama sejak perjanjian itu dimeterai pada tahun 2020.

“Kita memeterai perjanjian ini pada tahun 2020, ketika dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19. Sejak itu, kegiatan perdagangan, pelaburan dan pertukaran rakyat antara negara kembali rancak, mencerminkan ketahanan dan semangat perkongsian kemakmuran yang menjadi teras kepada RCEP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak RCEP ke-5 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

RCEP merangkumi 15 negara anggota yang menyumbang kira-kira 30 peratus atau satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Negara anggota tersebut termasuk Australia, Brunei, Kemboja, China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Laos, Malaysia, Myanmar, New Zealand, Filipina, Singapura dan Thailand.

Antara topik yang dibincangkan dalam sidang kemuncak kali ini termasuk perdagangan dan pelaburan, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, serta pendigitalan ekonomi serantau.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN