KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Malaysia mengulangi gesaannya agar kuasa veto lima ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan atau sekurang-kurangnya dihadkan sehingga menjadi tidak relevan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tiada justifikasi moral dalam memutuskan soal keamanan apabila satu kuasa veto sahaja sudah mampu untuk menghalang tindakan sedemikian.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut menekankan bahawa sudah tiba masanya komuniti antarabangsa bertindak tegas mengenai keadilan terutama melibatkan isu Israel-Palestin
"Inilah sebabnya kita tidak boleh terus berdiam diri terhadap isu-isu yang menuntut tindakan segera dan serius dan antara yang paling utama adalah persoalan reformasi.
"Kita mesti meneliti semula penggunaan atau penyalahgunaan kuasa veto di mana kuasa veto lima ahli tetap mesti dihapuskan, atau sekurang-kurangnya dihadkan sehingga tidak lagi relevan, jadi marilah kita teruskan perbincangan ini, perkukuhkan lagi kerjasama yang terjalin, dan terjemahkan kata-kata kita kepada tindakan yang konkrit serta bermakna", katanya dalam ucaptama Majlis Sambutan Hari Pertubuhan PBB Ke-80 di sini, hari ini.
Tambahnya, kegagalan PBB menangani konflik Israel-Palestin, kesukaran dihadapi ASEAN dalam isu Myanmar dan peningkatan saingan geopolitik sudah menghakis keyakinan masyarakat dan semestinya memerlukan tadbir urus global yang baik.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak berkaitan penting dalam memainkan peranan membentuk dunia agar lebih bersifat adil dengan menterjemah menerusi penyelesaian bersama dengan perbincangan berterusan agar tindakan lebih konkrit dapat dicapai.
Beliau dalam pada itu berkata, pembabitan aktif Malaysia dalam misi pengaman PBB termasuk penyertaan anggota pengaman wanita bukan saja mencerminkan komitmen negara terhadap keamanan sejagat, malah mengangkat martabat wanita di peringkat antarabangsa.
Ketika ini, lebih 800 anggota pengaman Malaysia sedang berkhidmat dalam lima Operasi Pengaman dan satu Misi Politik Khas.