KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Malaysia komited terhadap keamanan global berasaskan undang-undang antarabangsa, sambil menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan segera kekejaman di Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keamanan hanya dapat dicapai melalui penyelesaian politik yang adil dan inklusif untuk rakyat Palestin.
Beliau menyifatkan pelan kompleks yang dikemukakan oleh pihak antarabangsa, termasuk usaha terbaharu Presiden Amerika Syarikat untuk menamatkan konflik Gaza, sebagai satu permulaan penting menghentikan kekejaman yang sedang berlaku.
"Sudah tentu, kita mengambil maklum rancangan rumit yang pernah dikemukakan oleh Presiden Donald Trump bagi menamatkan konflik di Gaza. Ini merupakan satu permulaan penting untuk menghentikan kegilaan, pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman yang sedang berlaku.
"Namun begitu, usaha ini perlu dipantau dengan teliti agar dapat mewujudkan keamanan yang berkekalan, inklusif dan adil, serta penyelesaian politik yang menyeluruh bagi rakyat Palestin." kata Datuk Seri Anwar dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 di sini hari ini.
Malaysia akan terus menyuarakan prinsip kemanusiaan sejagat dan menolak sebarang bentuk keganasan terhadap penduduk awam.
"Dunia tidak boleh berdiam diri terhadap penderitaan rakyat Palestin yang berlarutan sejak berdekad lamanya," ujarnya.
Selain itu, keamanan global dan keselamatan sejagat hanya dapat dijamin melalui multilateralisme dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa, selaras dengan semangat ASEAN sebagai kuasa pemacu ke arah perpaduan dan keamanan rantau.
Sidang kemuncak tersebut turut memberi tumpuan kepada isu lain seperti Myanmar, Laut China Selatan dan hubungan strategik ASEAN dengan negara luar.