fb fb fb fb fb

Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral dijangka siap tahun 2025

(FOTO FAIL)

KOTA BHARU, 18 Julai - Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral yang baharu dijangka siap pada hujung tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata kerajaan negeri telah memulakan inisiatif pembinaan terminal itu sejak hujung tahun 2020.

Ini bagi menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh dengan mengeluarkan 'Request For Proposal' (RFP) bagi projek pembangunan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu Sentral.

Bagaimanapun ekoran pandemik COVID-19 proses RFP tersebut tergendala dan pada 1 Jun 2022 lepas kerajaan Kelantan memilih satu syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham kategori papan utama untuk melaksanakan pembangunan Kota Bharu Sentral di atas tanah seluas 17.37 ekar.

Pelaksanaan projek bukan sahaja melibatkan pembinaan Stesen Bas Bersepadu namun turut meliputi Bangunan Komersial dan pangsapuri.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab pertanyaan dikemukakan ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim, di sini.


(Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan,
Datuk Azami Mohd Nor/Foto Berita PAS)

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai masalah air di Kelantan, Azami yang juga ADUN Kadok berkata pihak Air Kelantan Sdn Bhd telah merancang pendekatan jangka panjang seperti peningkatan sumber air mentah, menaiktaraf dan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta melaksanakan program penukaran paip uzur untuk mengurangkan kadar air tak terhasil
(NRW).

Menurutnya, ketika ini, sumber air mentah untuk perkhidmatan bekalan air awam di Kelantan adalah melalui pengabstrakan air sungai (47%), tapisan air sungai (29%) dan air tanah (24%).

Perancangan juga telah dibuat untuk menakung air sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Air Sungai (TAPS) dan Takungan Empangan.

Pada masa sama, cadangan pembinaan TAPS dengan kapasiti 500 juta liter sehari (JLH) telah dirancang di Labok, Machang ia telah diangkat kepada kerajaan persekutuan untuk kelulusan pelaksanaan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Apabila projek tersebut siap pada tahun 2027, jaminan air mentah di kawasan utara Lembangan Sungai Kelantan akan meningkat.

Media Baharu