KUALA LUMPUR, 18 Disember - Terminal Feri Kenderaan dan Penumpang Labuan bakal dinaik taraf bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna.
Menurut Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri. Ir. Roslan Ismail, projek naik taraf di bawah Kementerian Pengangkutan itu bermula hari ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 6 April 2028.
"Antara skop utama projek termasuk pelebaran ruang menunggu kenderaan dan pembinaan kaunter tiket baharu.
"Projek juga melibatkan, pembaikan struktur ramp utama, naik taraf ramp kedua, kerja-kerja penambakan serta pembinaan ruang menunggu penumpang dan kawasan pemeriksaan agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek berkenaan di ibu negara, pagi tadi.
Terminal Feri Labuan merupakan satu-satunya laluan utama menghubungkan pulau itu dengan Sabah.
Penaiktarafan berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh peranan Labuan sebagai hab pengangkutan dan logistik maritim strategik ke Sabah dan Brunei.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 16 SST bernilai RM195.8 juta dikeluarkan Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), JKR setakat 5 Disember lalu.
Ia impak positif kepada industri pembinaan dan pertumbuhan ekonomi negara.