fb fb fb fb fb

Belanak, rezeki nelayan musim tengkujuh

Aktiviti menyauk ikan belanak dan ia biasanya bermula pada November, dan berakhir Januari atau Februari/foto BERNAMA

BACHOK, 18 Disember - Musim tengkujuh datang bersama-sama dengan gulungan ombak besar, tidak menghalang sekumpulan penyauk ikan belanak untuk turun menyauk meskipun berdepan risiko.

Menurut nelayan, Syukri Che Abdul Hamid, keadaan ombak tinggi merupakan masa yang sesuai untuknya mencari rezeki kerana banyak ikan belanak menghampiri pesisir pantai.

Katanya, ikan itu biasanya menghampiri persisir pantai ketika air pasang, khususnya pada awal pagi, selepas tengah hari dan lewat petang kerana gemar mencari buih bercampur tanah liat yang dibawa oleh ombak untuk dijadikan makanan.

Tambah Syukri, sudah menjadi tradisi turun-temurun mereka untuk menjalankan aktiviti menyauk ikan belanak dan ia biasanya bermula pada November, dan berakhir Januari atau Februari.

Aktiviti itu sudah dilakukannya sejak 10 tahun lalu dan hanya penduduk tempatan yang memahami keadaan pantai dan berani mampu menyauk ikan tersebut. Ini kerana mereka tahu dimana kedudukan paloh atau lekuk dalam air yang boleh mendatangkan risiko.

"Hari ini kami hanya datang untuk melihat ikan belanak. Ikan ini mempunyai musimnya, iaitu pada bulan November, Disember dan Januari. Apabila ombak besar, ikan belanak akan memakan buih di permukaan air. Pada ketika itu, ikan tersebut boleh disauk.

"Biasanya ketika air pasang, ombak boleh mencecah paras pinggang sehingga ke leher. Bagi yang mahir, mereka akan menyauk ikan belanak ini walaupun air melepasi paras kepala. Namun kebiasaannya, apabila air pasang penuh dan paloh terlalu dalam, penyauk belanak tidak dapat menjalankan aktiviti menyauk kerana terlalu berisiko," katanya.

"Jika ombak kuat kami perlu berhati-hati, paloh boleh mendatangkan risiko kepada penyauk belanak. Kemunculan ikan belanak juga tidak menentu, kadang-kadang timbul dan ada kalanya tidak," kata seorang lagi nelayan, Mohd Tarmizi Che Yusoff.

Sementara itu, bagi Zulaiman Mat Ail, menyauk ikan belanak ketika musim tengkujuh menjadi sumber pendapatan keluarganya apabila nelayan tidak dapat turun ke laut.

Katanya, pendapatan harian bergantung pada berapa jumlah tangkapan setiap hari dan biasanya dia akan memperoleh 10 hingga 15  kilogram sehari.

Tambah Zulaiman, ikan belanak yang disauk dijual pada harga RM5.00 sekilogram dan ia lebih murah berbanding harga pasaran sekitar RM8.00.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI