fb fb fb fb fb

PNK dijangka tingkat sumbangan industri perikanan negara

Foto BERNAMA

KUALA KEDAH, 18 Disember - Sebanyak 115,000 tan metrik ikan bernilai RM473 juta berjaya didaratkan di Malaysia sehingga Oktober lalu. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,038 tan metrik ikan dengan nilai RM6.231 juta direkodkan di sini.
 
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dapat meningkatkan lagi sumbangan kepada industri perikanan negara.
 
Pada masa sama, beliau berkata, Industri Pembinaan dan Pembaikan Kapal (SBSR) merupakan sektor strategik yang diiktiraf di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Walaupun Malaysia dikenali dengan limbungan kapal berskala besar, infrastruktur akar umbi seperti Limbungan PNK Kuala Kedah memainkan peranan penting menyokong operasi sebahagian besar kapal ringan negara.

Beliau berkata, limbungan itu merupakan inisiatif kerajaan di peringkat akar umbi bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, pembangunan bakat serta memodenkan industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR).

Menurutnya, Limbungan PNK Kuala Kedah menjadi contoh peranan aktif Persatuan Nelayan dalam rantaian nilai industri, dengan menyediakan perkhidmatan up-slip, down-slip serta pembaikan dan penyelenggaraan bot nelayan di Kedah dan negeri-negeri berdekatan termasuk Perlis dan Pulau Pinang.

Jelasnya, peranan itu membuktikan limbungan berkenaan bukan sekadar bengkel, sebaliknya berfungsi sebagai Pusat Servis Maritim Komuniti di Wilayah Utara.

“Setiap kerja pembaikan dan penyelenggaraan di limbungan ini merupakan sumbangan langsung kepada agenda Keterjaminan Makanan Negara. Proses pembaikan yang lebih cepat membolehkan kapal nelayan kembali beroperasi tanpa perlu menunggu berbulan-bulan.

Ia sekali gus mengurangkan beban yang ditanggung, khususnya oleh nelayan sederhana yang menggunakan kapal bersaiz besar. Dengan adanya limbungan ini, nelayan dapat melakukan pembaikan dengan lebih mudah dan efisien," katanya semasa merasmikan Limbungan Kapal PNK di sini.

Ia dibangunkan dengan peruntukkan berjumlah RM10.7 juta di Teluk Layang, Kuala Kedah.
 
Jelasnya, limbungan yang moden memerlukan tenaga kerja yang moden dan tidak boleh lagi mengharapkan kemahiran pembaikan bot hanya bersifat warisan atau turun-temurun dari lingkungan keluarga yang sama sahaja.
 
"Usaha lebih gigih perlu dilaksanakan untuk melahirkan modal insan yang mahir dan bertauliah dalam pembaikan kapal, sekiranya serius untuk melahirkan tekong-tekong tempatan yang cekap dan kompetitif," tambahnya.
 
KPKM sentiasa menyokong program latihan teknikal yang bekerjasama dengan Limbungan PNK berkenaan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN