fb fb fb fb fb

Ibu bapa sokong langkah kerajaan perketat kawal selia media sosial

Foto fail BERNAMA

MELAKA, 18 Disember - Isu keselamatan anak-anak di media sosial terus menjadi perhatian utama ibu bapa, menyaksikan rata-ratanya menyambut baik langkah kerajaan memperketat kawal selia terhadap platform digital.

Pendekatan itu dilihat mampu meningkatkan tahap tanggungjawab platform terhadap kandungan dalam talian, tanpa menjejaskan kebebasan pengguna.

"Saya mempunyai 11 orang cucu yang masih kecil dan kebanyakannya menggunakan telefon bimbit sebaik sahaja bangun tidur, bergantung hampir sepenuhnya kepada peranti tersebut.

"Jadi, pelaksanaan inisiatif ini amat membantu dan memberi keyakinan kepada kami sebagai ibu bapa serta datuk dan nenek, tanpa perlu terlalu bimbang terhadap kandungan yang mereka akses," kata Normah Musroom ketika ditemu bual.

“Pada pendapat saya, pelaksanaan ini merupakan satu langkah yang bijak dan terbaik kerana ia membantu mengawal aktiviti anak-anak dan cucu dalam penggunaan media sosial," menurut Hazmi Mohamad pula.

Sementara itu, Mazalan Mohd. Kasim menyifatkan keselamatan anak-anak di media sosial amat penting.

"Kandungan yang ditonton perlu ditapis supaya mereka dilindungi daripada perkara yang tidak sepatutnya," tegasnya.

Mulai 1 Januari 2026, semua platform media sosial dan aplikasi pesanan internet yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia akan dianggap berlesen di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), melalui Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langkah kawal selia itu diharap dapat mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat, khususnya bagi kanak-kanak dan keluarga.

EZA YUSMAWATI YAACOP