IPOH, 18 Disember - Masjid tidak boleh terus berperanan secara pasif atau terhad kepada urusan ibadah semata-mata, sebaliknya perlu ditransformasikan menjadi pusat pembangunan ummah yang menyeluruh.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, masjid perlu digerakkan sebagai pemangkin pembangunan ilmu, ekonomi, sosial dan kesejahteraan masyarakat.
“Sebanyak 700 masjid dan 1,773 surau di Negeri Perak tidak seharusnya menjadi ‘gajah tidur’, sebaliknya perlu diaktifkan sebagai pusat pembangunan ekonomi, pengembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya ummah.
"Ia perlu diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang mampu menarik penglibatan semua peringkat usia dalam kalangan ahli kariah,” Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Watikah Yang Dipertua dan anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Hakim Mahkamah Syariah Perak dan Ahli Majlis Perundingan Masjid serta Penyerahan Zakat Perniagaan dan Pendapatan di Ipoh.
Baginda turut menyeru jawatankuasa masjid supaya lebih peka terhadap keperluan kariah, tidak bersifat memekakkan telinga terhadap permasalahan ummah, dan berani mengambil peranan fardu kifayah membantu masyarakat setempat.
Sementara itu, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini bagi penggal 2026-2027.
Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan anggota MAIPk, hakim mahkamah syariah Perak serta anggota Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak.
Penerimaan watikah didahului Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak diikuti Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta lima anggota majlis iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim; Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; Pegawai Kewangan Negeri Perak Datuk Mohd Zaki Mahyudi; Ketua Hakim Syarie Negeri Perak Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Turut menerima watikah 21 anggota pada penggal lepas yang dilantik semula serta lima anggota baharu dilantik bagi penggal 2026-2027.
Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 55 anggota Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak, selain kepada Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Tan Sri Balia Yusof Wahi yang dilantik sebagai sebagai Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak serta 12 yang lain.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada 11 syarikat korporat berjumlah lebih 18 juta ringgit.