MELAKA, 27 Januari - Terminal Bas Melaka Sentral akan dipindahkan ke satu lokasi sementara agar projek pembangunan terminal berkenaan dapat dilaksanakan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu berkata, ini bagi mengoptimumkan penggunaaan tanah di kawasan tersebut.
Katanya lokasi penempatan sementara stesen bas akan dibangunkan di tapak lama Pasar Besar Melaka, sementara menunggu projek pembangunan itu siap dalam tempoh 3 hingga 5 tahun.
"Melaka Sentral tu dalam perbincangan untuk dipindahkan di sebelah tapak Pasar Besar tu. Cuma sebelum ini saya menasihatkan supaya Melaka Sentral dapatkan cadangan "lay out" sama ada susunan terminal tu boleh masuk di situ. Jika tidak kena cari tanah lain lah. Tempat sedia ada tu terlibat dengan pembinaan besar dan pada masa sama tapak tu pun perlu dilihat tentang kesesuaiannya," kata Zainal kepada pemberita selepas Cabutan Bertuah MBMB di Bandaraya Melaka.
Mengulas lanjut katanya, jangkaan pemindahan itu akan dilaksanakan pada Februari depan.