FOTO BERNAMA
KUANTAN, 27 Januari- ANIH Berhad (ANIH), syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) menjangkakan jumlah trafik lebuh raya kendaliannya meningkat sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengurus Besar Kanannya, Radzimah Mohd Radzi, berkata ini kerana ia kali pertama sejak dua tahun lalu, masyarakat Cina dibenarkan merentas negeri bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Februari ini bersama keluarga berjauhan.
Sehubungan itu, katanya pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan mengikut jadual dikeluarkan ANIH.
"Sebagai persediaan berdepan jangkaan itu, kami meningkatkan kekerapan jadual sanitasi dan pembersihan di semua kemudahan awam di Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.
"Ia bagi memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) pergerakan digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Radziman berkata, jadual cadangan waktu perjalanan sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina turut diedarkan kepada orang awam bersama 1,400 pelitup muka di plaza tol sepanjang KLK dan LPT1.
Semua pengguna jalan raya dinasihat memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum serta mempunyai baki kad Touch N'Go yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pusat tambah nilai.
"Bagi mereka yang bakal melakukan perjalanan menggunakan KLK dan LPT1, maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini tentang keadaan trafik boleh diperoleh menerusi media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT - Line di 09 5479111/1-700-818-700.
"Manakala pengguna LPT2 boleh mendapatkan maklumat trafik melalui Twitter @LPT2Trafik, papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya atau menghubungi LPT2Line di talian 1800-88-0220," katanya.