fb fb fb fb fb

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Tebrau letak jawatan


JOHOR BAHRU, 27 Januari - Bekas Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang meletakkan jawatan sebagai Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Tebrau serta-merta.

Keputusan diambil selepas melakukan penilaian dan penimbangan mengenai hala tuju politik beliau.

Surat perletakan jawatan akan diserahkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, 22 ketua cawangan dan ahli jawatankuasa PPBM Parlimen Tebrau turut mengikut jejak langkah beliau meninggalkan parti.

Buat masa ini, beliau tidak menyertai mana–mana parti politik, namun menzahirkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) serta pimpinan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohamad.

"Saya juga mengambil pendirian, menyokong YAB Datuk Hasni Mohamad, Menteri Besar Johor untuk memimpin semula negeri Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri Johor yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor yang tercinta," kata Mazlan dalam sidang media di sini.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan telah menerima tawaran daripada individu tertentu untuk menyertai parti-parti politik yang lain.

Mazlan menjangka lebih ramai ahli PPBM akan meninggalkan parti, menjelang penamaan calon Pilihan Raya Umum, Dewan Undangan Negeri Johor akan datang.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan bergiat aktif sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk terus menabur bakti menyumbang kepada masyarakat.

Media Baharu