KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerajaan negeri Terengganu menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menjadikan Terengganu antara lokasi penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI tahun ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perbezaan parti politik tidak menjadi halangan buat mereka untuk bekerjasama meraikan sambutan Aidilfitri bersama rakyat.
Pihaknya bersedia menghulurkan bantuan bagi menjayakan majlis rumah terbuka berkenaan pada 13 Mei ini.
(Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ditemu bual media pada
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Kuala Terengganu, hari ini)
"Bagi pihak kerajaan negeri kami sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan YAB Perdana Menteri dan seluruh anggota kabinet untuk berhari raya ke Terengganu...kita cuba buktikan bahawa kita di Terengganu walaupun perbezaan parti politik yang memerintah negeri dan persekutuan tapi kita sesekali tidak menganggap ianya satu halangan untuk kita bekerjasama, jadi sila datang..Insya-Allah kita raikan sebagai tetamu yang istimewa, Insya-Allah," kata beliau ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan tidak akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Jabatan Perdana Menteri memaklumkan buat julung kalinya, Majlis Rumah Terbuka Malaysia MADANI Bersama Perdana Menteri akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.