(Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan
melawat semua gerai makanan ketika baginda berangkat ke Majlis Sambutan Aidilfitri
Peringkat Negeri Perak/ Foto BERNAMA)
IPOH, 22 April - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak yang dihadiri kira-kira 20,000 tetamu di perkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan exco kerajaan negeri.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak daripada Rumah Sultan Abdul Aziz Kuala Kangsar serta Program Perumahan Rakyat (PPR) Flat Ashby Road.
(Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melambai ke arah orang ramai ketika baginda berangkat
ke Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia hari ini/
Foto BERNAMA)
Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata kehadiran rakyat berbilang kaum pada majlis itu sekali lagi menjelmakan kekuatan dan keunikan rakyat Malaysia khususnya di Perak, yang sentiasa bermuafakat membina kesentosaan di sebalik kerencaman budaya, kaum dan agama.
Beliau turut mengajak rakyat memacak azam jitu untuk menyuburkan kembali semangat kebersamaan dengan mempertahankan keamanan, menyemarakkan obor perpaduan dan menolak perpecahan.