(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku
Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan
duit raya kepada asnaf dan kanak-kanak yang hadir)
KUANTAN, 22 April - Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pahang tahun ini semakin meriah berbanding tahun-tahun lepas, berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang semakin baik di negeri ini yang membolehkan aktiviti ziarah serta kunjung-mengunjungi kembali seperti biasa.
Malah, penganjuran rumah terbuka Aidilfitri dilihat sebagai suatu wadah untuk rakyat menterjemahkan semangat perpaduan antara kaum tak kira bangsa dan agama yang turut sama meraikannya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata semangat perpaduan antara kaum masih utuh berdasarkan sambutan yang diterima rakyat yang hadir memeriahkan majlis jamuan rumah terbuka.
"Walaupun kita telah lama tak buat rumah terbuka tapi hari ini saya terasa seolah tiap-tiap tahun kita buat, jadi saya ucapkan terima kasih kepada yang datang termasuk rakan-rakan media yang sudi datang ke Dewan Majlis Bandaraya Kuantan ini untuk bersama-sama memeriahkan rumah terbuka saya, dan yang paling istimewa seperti biasa saya dapati kehadiran daripada kaum-kaum lain Cina, India ini jelas membuktikan bahawa perpaduan antara kita di negeri Pahang ini sangat erat dan saya harap ia dapat dikekalkan untuk masa-masa akan datang,"
(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ditemu bual media selepas Majlis
Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Pahang)
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang yang dihadiri lebih 3,000 tetamu berbilang kaum di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menasihatkan rakyat di negeri ini supaya tidak melakukan pembaziran di musim perayaan ini, menjaga kesihatan dan meningkatkan aktiviti ziarah menziarahi sepanjang Aidilfitri ini.
Dalam majlis itu juga, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke majlis rumah terbuka tersebut dan beramah mesra bersama rakyat serta mengurniakan duit raya kepada asnaf dan kanak-kanak yang hadir.
Pelbagai juadah tradisi disediakan antaranya ketupat, rendang, sate, lemang dan opor daging.