fb fb fb fb fb

Semangat keluarga Islam meriahkan Aidilfitri pelajar antarabangsa di Malaysia

GOMBAK, 22 April- Jauh daripada keluarga dan tanah air, tidak menjadi penghalang untuk pelajar-pelajar antarabnagsa meraikan Aidilfitri di Malaysia dengan meriah.

Pengalaman beraya di perantauan menjadi momen indah ditambah dengan peluang merasai keunikan sambutan masyarakat pelbagai negara.

Lebih 3,000 pelajar luar negara Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menyertai sambutan 1 Syawal sejurus melaksanakan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.

Rata-rata yang ditemui teruja dapat meraikan kemeriahan syawal bersama rakan-rakan dari pelbagai latar belakang dan negara.

Menurut seorang pelajar antarabangsa UIA, Hussein Simon, Aidilfitri mereka lebih bermakna bila dapat berkumpul dengan rakan-rakan Muslim dari pelbagai negara.

"Ini kali kedua saya beraya di sini, jadi saya rasa sangat selesa dan ikatan muhibah tambah erat bila meraikan Syawal bersama," katanya.

Bagi Pazilati Ababaike, dia rasa ceria dengan kehadiran rakan-rakan menyambut Syawal.

"Rasa seronok kerana di Malaysia semuanya buat kami rasa dekat di hati, walau meraikannya bersama komuniti kecil di kampus, tetap terasa kemeriahannya," katanya.

Sementara itu pelajar dari Indonesia, Nabil Ghazy Hamdun, dia terasa beraya di Malaysia seperti di tanah air sendiri.

"Ini raya pertama saya keluar dari negara sendiri, raya di Malaysia ini yang pertama tidak rasa kekok langsung, semuanya jadi seperti di tanah air sendiri, rasa sangat serupa dengan Indonesia," katanya.

(Abraham Gimenez Tubio)

Bagi Abraham Gimenez Tubio dari Sepanyol, pertama kali melihat sambutan Aidilfitri dirayakan, ia pengamalaman paling menarik.

" Ia adalah pengalaman pertama  bagi saya, melihat semua orang menyambut Syawal adalah sesuatu yang menakjubkan," katanya

Walaupun berjauhan dengan keluarga namun ia tidak menjadi penghalang untuk para pelajar di sini menyemarak dan memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, semangat keluarga Islam menjadi kunci kepada mereka untuk merapatkan tali persaudaraan.

Laporan wartawan Fahmie Zaidi.

Media Baharu