KUALA LUMPUR, 11 Jun – Seramai 15 waris penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak akan menerima bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 daripada kerajaan negeri Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1,000 telah disalurkan lebih awal sebagai bantuan segera.
Manakala baki akan diagihkan dalam masa terdekat.
"Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertarikh 11 Jun 2025 bersetuju untuk memberikan sumbangan kepada semua mangsa yang terlibat sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap keluarga yang ditimpa musibah," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut meluluskan bantuan kebajikan sebanyak RM1,000 kepada 33 pelajar yang cedera dalam kejadian berkenaan.
“Kerajaan negeri amat terkesan dengan insiden yang mengorbankan ramai nyawa dan mencederakan pelajar lain. Kita komited untuk membantu semampunya dalam meringankan beban mereka yang terjejas,” katanya.
Pada Isnin lalu, seramai 15 penuntut UPSI terkorban apabila bas yang disewa khas membawa mereka dari Jertih ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar kenderaan pelbagai guna di JRTB.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata beliau sendiri akan menyerahkan bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang terkorban pada Selasa depan.
Tambahnya, kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan keperluan hospital termasuk pembedahan, selain menyediakan sesi kaunseling kepada mangsa yang terselamat serta ahli keluarga mereka.