fb fb fb fb fb

204 kemalangan motosikal di Lebuhraya Persekutuan awal tahun ini

Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar/ Foto RTM

PETALING JAYA, 11 Jun- Sebanyak 204 kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal direkodkan dari Januari hingga Mei lalu di Lebuhraya Persekutuan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 34 kematian melibatkan penunggang motosikal.

"Jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan dibawah pentadbiran IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Petaling Jaya menunjukkan peningkatan dengan merekodkan 204 kes iaitu meningkat sebanyak 53 kes atau lebih 35.1 peratus berbanding tahun sebelum ini sebanyak 151 kes," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Op Motosikal di Lebuhraya Persekutuan di sini.

Dalam operasi itu, peralatan teknologi dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digunakan bagi membantu pemantauan dan penguatkuasaan.

Hasilnya, sebanyak 47 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, dengan 16 daripadanya dikesan menerusi pemantauan dron dalam tempoh hanya satu jam sejak operasi bermula pada pukul 11.00 pagi.

Beliau turut memaklumkan antara punca utama berlakunya kemalangan adalah cara pemanduan dengan mengikut rapat kenderaan lain di hadapan, hilang kawalan serta keletihan.

Tambahnya, waktu paling banyak kemalangan dicatatkan adalah antara pukul 6.00 hingga 8.00 pagi dengan majoriti melibatkan penunggang berumur antara 16 hingga 40 tahun.

"Sepanjang tahun 2024, sebanyak 45,958 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu, tidak memakai topi keledar dan melanggar lampu isyarat," katanya lagi.

Tegasnya, pelaksanaan pemantuan akan diteruskan menerusi Op Motosikal bagi membendung isu kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM