
KUALA LUMPUR, 2 April – Seramai 14 pegawai daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi kini diiktiraf sebagai Professional Trainers berakreditasi HRD Corp, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara selari dengan transformasi digital.
- Pengiktirafan HRD Corp mengesahkan kompetensi profesional dan keupayaan jurulatih mengendalikan latihan secara sistematik serta berimpak tinggi.
- Sijil akreditasi berperanan sebagai lesen, membolehkan pegawai diiktiraf sebagai pakar rujuk bertauliah dalam bidang masing-masing.
- Pengiktirafan meningkatkan penghormatan peserta terhadap input jurulatih dan meningkatkan keyakinan jurulatih ketika menyampaikan modul.
- Sijil Train The Trainer disampaikan kepada wakil IPPTAR, RTM, JaPen dan IPGM; majlis diadakan di Angkasapuri dengan kehadiran pegawai atasan.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, pengiktirafan itu merupakan pengakuan rasmi terhadap kompetensi profesional serta bukti keupayaan jurulatih dalaman untuk mengendalikan latihan secara sistematik dan berimpak tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa pemilikan sijil akreditasi tersebut berfungsi sebagai ‘lesen’ yang membolehkan pegawai terbabit dianggap sebagai pakar rujuk bertauliah dalam bidang masing-masing.
“Peserta yang menerima latihan akan lebih menghormati input yang diberikan apabila mereka mengetahui jurulatih tersebut diiktiraf secara profesional. Malah, jurulatih itu sendiri akan lebih yakin dalam menyampaikan modul mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Professional Trainers IPPTAR 2026 di Angkasapuri, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan sijil tamat program Train The Trainer (TTT) kepada pegawai yang mewakili Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Turut hadir, Ketua Pengarah RTM, Ashwad Ismail Pengarah IPPTAR, Timbalan Ketua Pengarah JaPen, serta wakil dari HRD Corp.