KUALA TERENGGANU, 10 Mei- Sejumlah 782 kes Penyakit, Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di Terengganu setakat 7 Mei lepas.
Jumlah itu meningkat 723.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, 19 wabak dilaporkan di lima daerah di negeri itu.
"Paling banyak di Kuala Terengganu dan Setiu dengan 5 lokaliti dikesan terdapat wabak tersebut.
Kebanyakan penularan wabak berlaku di tadika dan taska di negeri ini," katanya.
(Datuk Dr. Kasemani Embong, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu)
Sehubungan itu, pihaknya akan meningkatkan lagi rondaan dan pemantauan bagi memastikan semua pusat jagaan memperkemas prosedur penghantaran anak-anak yang bergejala.
"Sanitasi ruang perlu dilakukan selepas tamat sekolah kerana ketika ini dilihat ia kurang dilakukan dan perkongsian tempat peribadi, makan dan minum serta permainan perlu diberi perhatian.
Kurang saringan di pintu masuk pusat asuhan antara faktor penularan wabak berkenaan," katanya lagi.