JITRA, 10 Mei - Kerja-kerja membina “belat” atau sekatan bagi menyekat air keluar melalui runtuhan ban Sungai Santap di Kampung Telaga Batu di sini dijangka selesai petang ini.
Ia bagi membolehkan air dari Sungai Pelubang dapat disalurkan ke Sungai Santap sekali gus dapat meningkatkan paras air di sungai itu yang menyusut teruk akibat runtuhan tebing sungai berkenaan tengah hari semalam.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerja-kerja membina "belat" giat dilakukan oleh pihak kontraktor bermula malam tadi dan dijangka siap hari ini.
Pembinaan belat berkenaan perlu dilakukan bagi menghentikan pergerakan air sebelum kerja-kerja baik pulih ban pecah di Kampung itu yang dijangka menelan kos sebanyak RM1.8 juta dapat dilakukan.
Jelas beliau hanya satu meter kenaikan paras air Sungai Santap diperlukan bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Pokok Sena yang ditutup sepenuhnya bermula semalam, dapat beroperasi semula.
(Kejadian ban pecah di Sungai Santap)
"Jadi untuk tindakan segera dibelat sungai nilah, dia akan limpah balik masuk ke sana. Kita perlu lagi peningkatan paras air daripada yang ada sekarang ini meningkat satu meter saja lagi untuk semua LRA ni, dapat beroperasi seperti biasa. Kos pembaikan ban tu pun agak tinggi, kos yang dibelakang saya yang dimaklumkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) RM300,000 untuk menyediakan belat ni yang ditempat runtuh tu mungkin akan menelan kos jutaan ringgit dan kita akan usahakan supaya ia dapat diperbaiki segera,"
Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau lokasi runtuhan di Kampung Telaga Batu, Jitra, dan LRA Pokok Sena di Sungai Santap.
Muhammad Sanusi berkata penutupan LRA Pokok Sena memberi kesan kepada 13,500 akaun pengguna di kawasan itu.
Bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air yang secukupnya, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) telah menyediakan beberapa buah lori bagi menghantar bekalan air kepada penduduk yang terjejas.