fb fb fb fb fb

Syarikat konsesi diberi amaran selesai isu sampah di Perak

IPOH, 10 Mei- Kegagalan syarikat konsesi melaksanakan tanggungjawab mengutip sampah di Perak boleh mengakibatkan mereka ditamatkan perkhidmatan seperti dinyatakan dalam perjanjian bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai berkaitan sampah-sarap yang tidak dikutip sehingga dua minggu di sekitar kawasan Ipoh dan Taiping.

Jelas beliau, masalah berkenaan telah dimaklumkan kepada PBT berkaitan dan alasan diberikan adalah kekurangan pekerja serta jumlah sampah yang meningkat ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Di Perak, kita telah beri hak kepada Majuperak Utilities Management Sdn Bhd untuk menguruskan kerja berkaitan pungutan sampah dan mereka telah tandatangan perjanjian dengan beberapa PBT.

Kalau prestasi mereka tidak memuaskan, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dan kalau ada klausa tamatkan perkhidmatan berkenaan, kena tamatkan jika tidak menunjukkan prestasi baik," katanya pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini.

(Datuk Seri Saarani melayan orang ramai pada Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia)

Tambah beliau, pihaknya akan mengarahkan syarikat konsesi Majuperak Holding supaya menasihati Majuperak Utilities Management Sdn Bhd supaya menyelesaikan isu sampah tersebut.

Menurutnya, syarikat tersebut mempunyai tempoh percubaan sehingga November tahun ini sebelum keputusan dibuat sama ada menyambung kontrak atau ditamatkan perkhidmatan.

Media Baharu