KUALA LUMPUR, 10 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 35 kompaun dalam operasi penguatkuasaan Anti-Litter di sekitar kawasan Lorong Haji Taib dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
DBKL menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, antara kesalahan yang dikesan adalah seperti meletakkan barang perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran, membuang sampah di tempat awam dan longkang, serta menghalang longkang dengan sisa dan barang hingga menjejaskan aliran air.
“Sebanyak 16 kompaun dikeluarkan ke atas peniaga mengikut Seksyen 46(1)(d), 12 kompaun mengikut Seksyen 47(1)(d) dan tujuh kompaun mengikut Seksyen 47(1)(a). Semua seksyen ini di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974”.
DBKL turut memaklumkan, operasi ini untuk mendidik peniaga di samping menjalankan tindakan penguatkuasaan secara berkala di sekitar ibu kota.
“Ia juga bagi menanam sikap tanggungjawab di kalangan peniaga untuk bersama membantu pihak berkuasa menjaga kebersihan di sekitar premis perniagaan masing-masing.”
Disamping itu, kompaun turut dikenakan kepada peniaga yang masih berdegil menyebabkan halangan laluan pejalan kaki di hadapan dan belakang premis.