ALOR GAJAH, 10 Mei- Tiga penuntut universiti swasta warga Pakistan cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 213 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah utara, pagi tadi.
Dua lagi rakan mereka bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan berlaku sekitar jam 5.30 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, laporan kemalangan membabitkan kereta Honda City yang mengalami kerosakan pada stereng dan terbabas sendiri itu diterima jam 9.15 pagi.
Menurutnya, kereta berkenaan disewa dan semua penuntut terbabit yang berusia 20 tahun sedang dalam perjalanan ke sebuah universiti swasta di Nilai.
“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian kereta dipandu penuntut lelaki sedang menukar laluan dari lorong tengah ke lorong paling kiri lebuh raya.
“Ketika menukar lorong, pemandu itu mendapati stereng kenderaan mengalami kerosakan, menyebabkan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar bahu jalan.
“Akibat daripada kemalangan, seorang penumpang wanita, Taskeen Zehra, 20, cedera di kepala dan dirawat di zon merah, Hospital Alor Gajah.
“Pemandu kereta cedera di kaki dan seorang lagi penumpang cedera di muka dan dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan.
Punca kemalangan disebabkan stereng gagal berfungsi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedang dijalankan.
Kenderaan terbabit dibawa menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Rembia.