GUA MUSANG, 10 Mei- Seramai lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Simpor dekat sini menerima pelbagai kemudahan hasil penganjuran Program Kembara Mesra Rakyat yang berlangsung selama dua hari.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan bagi menawarkan khidmat terus kepada komuniti pedalaman.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) serta Mahkamah Gua Musang.
ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memudahkan urusan masyarakat Orang Asli yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan hampir 100 kilometer untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan kerajaan.
"Penduduk di sini biasanya terpaksa ke bandar Gua Musang dengan kos pengangkutan mencecah lebih RM500. Melalui program ini, kita bawa terus perkhidmatan seperti JPN untuk urusan MyKad dan MyKid ke Pos Simpor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program berkenaan di Dataran Pos Simpor.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Jamil Gabon menyifatkan program berkenaan amat membantu memudahkan urusan dokumentasi penting penduduk termasuk surat beranak dan sijil perkahwinan.
"Kami ucapkan terima kasih kepada YB Azmawi yang sudi turun padang dan membawa agensi kerajaan bersama-sama untuk bantu masyarakat di sini," katanya.
Turut berkongsi pandangan, Penghulu Pos Simpor, Alang Jambu yang menyatakan penghargaan kepada semua agensi yang hadir dan berharap program sebegini dapat diteruskan secara berkala.
“Kami sangat berterima kasih kepada pihak JAKOA dan semua agensi kerana membantu masyarakat di sini yang sebelum ini sukar untuk berurusan,” katanya.
Antara pengisian lain dalam program termasuk pemeriksaan kesihatan, pameran AADK serta acara sukan dan suai kenal bersama komuniti setempat.