SHAH ALAM, 10 Mei- Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis pikap yang dipandunya melanggar pokok dan terbakar di Persiaran Kuala Langat menghala Persiaran Hulu Langat di Seksyen 27, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, kenderaan yang dipandu mangsa yang berusia 49 tahun itu terbabas dan melanggar pokok di bahu kiri jalan sebelum terbakar.
“Mangsa terperangkap dalam pikap berkenaan dengan api marak membakar keseluruhan kenderaan.
“Api berjaya dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.