fb fb fb fb fb

Lebih 3,000 serbu kaunter PMR Sabah, PDRM tawar potongan saman trafik 50%

Pegawai Turus Outlet Pembayaran Saman, Penolong Penguasa Polis (ASP) Mohd Najib Zamuri

TAWAU, 10 Mei- Orang ramai yang mengunjungi Program MADANI Rakyat (PMR) Sabah di Tawau berpeluang menikmati potongan sebanyak 50 peratus bagi saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan membuat semakan dan bayaran di kaunter perkhidmatan yang disediakan.

Setakat hari kedua pembukaan kaunter tersebut, lebih 3,000 pengunjung telah hadir bagi mengambil kesempatan terhadap tawaran berkenaan.

Pegawai Turus Outlet Pembayaran Saman, Penolong Penguasa Polis (ASP) Mohd Najib Zamuri berkata, potongan hanya ditawarkan sepanjang tempoh program berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.

"Sambutan Kaunter Pembayaran Saman amat menggalakkan. Seawal pagi semalam, hari pertama, kaunter ini dipenuhi pengunjung, mungkin dari Tawau dan sekitar daerah di Sabah.

"Tawaran diskaun 50 peratus ini diberikan ke atas saman trafik terpilih, dan hanya berlangsung selama tiga hari sempena Program MADANI Rakyat," katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau operasi Kaunter Semakan dan Pembayaran Saman Trafik PDRM di lokasi program.

Warga Tawau dan kawasan sekitarnya diseru agar tidak melepaskan peluang untuk melunaskan saman masing-masing sebelum program melabuhkan tirai pada Ahad ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE