fb fb fb fb fb

Terap ilmu pengurusan mental, emosi bantu bendung penceraian - Pakar

KUALA LUMPUR, 3 Julai - Belakangan ini terlalu kerap masyarakat dijamu kisah penceraian dan pergolakan rumah tangga, baik orang biasa yang tidak silu berkongsi cerita mereka di media sosial ataupun golongan selebriti.

Hakikatnya, trend penceraian di negara ini agak menggusarkan, khususnya dalam kalangan pasangan beragama Islam.

Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menunjukkan sebanyak 45,420 kes penceraian didaftarkan di seluruh negara pada 2021, dengan punca utama yang dikenal pasti ialah tiada persefahaman, faktor kewangan, pasangan curang dan campur tangan keluarga.

Turut menyumbang kepada penceraian ialah keganasan rumah tangga termasuk penderaan yang melibatkan fizikal dan mental.

Melihat pada situasi ini, pakar mengusulkan pihak berwajib meneliti semula modul kursus praperkahwinan pasangan Islam dan disesuaikan dengan keperluan serta cabaran semasa, terutama dalam aspek pengurusan mental dan emosi serta isu jenayah keganasan rumah tangga.



CETEK ILMU URUS EMOSI



Kaunselor di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Azmawaty Mohamad Nor ketika mengulas isu penceraian di negara ini, berkata sudah tiba masa untuk modul kursus praperkahwinan ditambah baik kerana cabaran yang dihadapi pada zaman ini adalah berbeza dengan yang dilalui ketika kursus itu mula-mula diperkenalkan.

“Kursus ini relevan dan penting bagi bakal pengantin, namun boleh ditambah baik dari semasa ke semasa agar seiring dengan situasi yang dialami oleh masyarakat sekarang,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, antara yang boleh ditimbang untuk dimasukkan dan diketengahkan dalam modul itu ialah ilmu tentang pengurusan mental dan emosi.

“Ilmu pengurusan mental dan emosi penting bagi mengelakkan berlaku penderaan, yang tidak terhad kepada aspek fizikal semata-mata tetapi juga emosi yang boleh mempengaruhi sikap dan psikologi mangsa.

“Apabila individu mempunyai ilmu untuk menguruskan mental dan emosi, mereka akan lebih cenderung menzahirkan emosi positif serta bertindak dengan lebih baik dalam mengawal sebarang konflik yang berlaku,” katanya.

Menurut beliau, seperti peribahasa “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”, pertelingkahan antara pasangan tidak boleh dielak.

Yang menjadi isu ialah bagaimana pasangan menguruskan mental dan emosi mereka ketika konflik, kerana katanya, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan “perkara kecil menjadi besar sehingga melibatkan penderaan, penganiayaan dan pengabaian.”

“Lebih merisaukan apabila keadaan ini membawa kepada perbuatan jenayah atau bertindak di luar batas perikemanusiaan, kesan daripada ketidakupayaan mengawal pertelingkahan atau konflik yang berlaku,” katanya, menambah pasangan yang bijak menguruskan emosi mampu bertindak lebih rasional.

Untuk rekod, kursus praperkahwinan yang antara lain mengandungi hukum-hakam perkahwinan, hubungan pasangan dan keluarga serta kisah-kisah teladan, diwajibkan ke atas pasangan Islam sejak 1990-an, sementara bagi pasangan bukan Islam pula, mereka digalakkan mengikuti kursus hampir sama yang dikendalikan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan Negara, bermula 2016.





KONSEP “3R”



Mengulas lebih lanjut, Azmawaty menyarankan penekanan konsep “3R”, iaitu “retract, rethink dan respond” dalam modul praperkahwinan bagi membantu pasangan belajar mengawal perasaan apabila berada dalam keadaan tertentu.

“Retract’ ialah keadaan apabila individu mengalami emosi seperti marah, maka dia perlu berundur seketika dan mencari ruang serta cara untuk melegakan emosi tersebut seperti melakukan teknik pernafasan. Pada waktu itu juga mereka perlu ‘rethink’ atau fikirkan semula cara menyelesaikan masalah.

“Kemudian barulah ‘respond’ terhadap keadaan yang berlaku. Menerusi kaedah ini, secara tidak langsung pemikiran, emosi dan tingkah laku juga dapat dikawal dan berada dalam keadaan yang baik,’’ jelasnya.

Beliau berkata kebanyakan pasangan tidak bersedia ketika berdepan dengan konflik kerana mereka sering disajikan cerita-cerita indah alam perkahwinan, sedangkan realitinya adalah berbeza.

Sehubungan itu katanya, adalah penting bagi setiap pasangan mempunyai ilmu untuk mengawal emosi yang dapat membantu mereka menyelesaikan masalah dengan tenang dan matang.

“Selain aspek pengurusan mental dan emosi, menjaga kesihatan mental juga adalah penting. Mental yang tidak sihat boleh membawa kepada gejala negatif lain termasuk kemurungan, dan golongan wanita atau isteri dilihat lebih berisiko berdepan gejala itu,’’ katanya.



KAUNSELING PERKAHWINAN



Bersetuju bahawa kecetekan pengetahuan pengurusan mental dan emosi sebagai penyebab pasangan gagal mengawal isu dalam rumah tangga, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Siti Nubailah Mohd Yusof berkata perkhidmatan kaunseling perkahwinan mampu membantu suami isteri, terutama pasangan muda, menjaga keharmonian rumah tangga.

Katanya, pasangan suami isteri yang berdepan pelbagai kesulitan sehingga menjejaskan kesihatan mental serta emosi mereka dan akhirnya menyebabkan kemurungan, perlu tampil mendapatkan bantuan.

“Ketika ini ramai kaunselor profesional yang menawarkan kaunseling perkahwinan, bukan sahaja di agensi kerajaan tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta, bagi membantu pasangan yang berdepan pelbagai isu berbangkit dalam perkahwinan.

“Cumanya tidak ramai pasangan melihat bahawa berjumpa dengan kaunselor adalah langkah penting dalam membantu mereka mengendalikan isu yang dihadapi,” katanya.

Siti Nubailah pada masa sama, berkata pendidikan perkahwinan di Malaysia perlu bersifat lebih terbuka, efektif dan berterusan dalam membantu pasangan bermasalah, sekali gus membendung penceraian.

Menurut beliau, ini kerana berdasarkan kursus praperkahwinan sedia ada, kebanyakannya lebih menumpukan pada pendidikan tentang hal ehwal rumah tangga.

“Menimba ilmu adalah penting, sama ada secara formal atau tidak, bagi membantu pasangan suami isteri menguruskan kehidupan berkeluarga. Suami isteri yang tahu dan faham akan kehendak diri, keperluan pasangan dan mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam mengendalikan perhubungan mereka akan dapat menjaga keharmonian perkahwinan.

“Oleh sebab itu, perlu ada kesinambungan program atau kursus berkaitan perkahwinan selepas pasangan berkahwin. Agensi berkaitan seharusnya mengambil langkah proaktif dengan memberikan kesedaran dan pendidikan kepada pasangan yang bermasalah, sambil pada masa sama kita dapat mengekang kes penganiayaan dan jenayah dalam rumah tangga,” katanya. - BERNAMA

Media Baharu