fb fb fb fb fb

Teo Nie Ching menang saman fitnah, peroleh ganti rugi RM200,000

Teo Nie Ching/ Arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Naib Presiden DAP Teo Nie Ching dibayar ganti rugi RM200,000 selepas membenarkan samannya terhadap bekas wartawan Datuk Yazid Othman.

Teo menerui hantaran Facebook memaklumkan, Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Datuk Yazid telah memfitnah beliau dalam sebuah forum pada 26 Februari 2021 bertajuk 'Buku Teks Sejarah Dimanipulasi - Komunis Pula Diagungkan.'

"Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan saman saya dan memberikan tuntutan RM200,000 dengan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah RM200,000 dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, serta kos RM30,000.

"Dalam ringkasan alasan penghakiman yang disampaikan di mahkamah terbuka hari ini, hakim mendapati unsur-unsur fitnah telah dibuktikan dan Datuk Yazid gagal untuk membuktikan justifikasi, ulasan yang adil dan keistimewaan bersyarat pembelaan. Hakim juga mendapati terdapat niat jahat dalam kenyataan Yazid terhadap saya," menurut hantaran itu.

Menurut Teo beliau menyambut baik keputusan itu sekali gus membersihkan namanya daripada dakwaan tersebut.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam saya Syahredzan Johan dan Amanda Wong Yoke Ting atas bantuan mereka," tambah kenyataan itu.

Teo memfailkan saman sivil terhadap Datuk Yazid di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menurut Teo, forum itu disiarkan secara langsung di beberapa platform media sosial ketika Datuk Yazid memegang jawatan Timbalan Pengerusi NGO Sekretariat Tolak Buku Teks Sejarah Tingkatan Empat (BST4).

Beliau berkata Datuk Yazid, antara lain, mendakwanya telah mengarahkan pegawai kerajaan mengubah buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi 'mempromosikan dan menghebahkan perjuangan komunis.

Dakwaan tersebut dibuat semasa beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan dari 2018 hingga 2020.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI