KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan dipinda semula.
Ini termasuk berhubung nilai ambang persetujuan untuk menyertai projek pembaharuan semula bandar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata pindaan pada Fasal 19 itu dibuat bagi menghormati dan menyantuni pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Dewan Rakyat melalui sesi perbincangan khas pada 21 Ogos lepas.
Menurutnya, kesemua nilai ambang juga akan diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan berbanding 75 peratus seperti sebelumnya.
"Kesemua nilai ambang ini diseragamkan ke paras 80 peratus tanpa mengira usia bangunan di mana kenaikan nilai ini daripada 75 peratus masih dalam lingkungan yang wajar untuk memberi ruang pertimbangan dalam melaksanakan projek pembaharuan semula bandar secara berintegriti dan adil untuk pihak yang terlibat.
“Di samping itu, kita mengambil kira isu hak milik dalam kalangan 20 peratus penduduk, antaranya isu hak milik yang dicagar atau digadai bagi pembiayaan kewangan atau seumpamanya, isu hak milik yang mengalami non-performing loan (NPL) daripada institusi kewangan, isu suratan hak milik yang belum atau tidak dikeluarkan kepada pembeli serta isu pemilik asal tidak dapat dikesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.