fb fb fb fb fb

Tentera Darat jangka tambah anggota ke Turkiye

PORT DICKSON, 13 Februari- Tentera Darat dijangka menambah anggota dan pegawai bagi menyertai misi bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi di Turkiye.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata anggota serta pegawai sentiasa bersiap siaga jika diperlukan dalam misi tersebut yang dijangkakan selama enam minggu.

"Saya jangkakan kemungkinan, tetapi kita ikut arahan pejabat Perdana Menteri dan salurkan kepada Majlis Keselamatan Negara.

"Kita ikut arahan...akan buat penilaian sesuai atau tidak sesuai," katanya.

(Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain)

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Tentera Darat Ke-90 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini hari ini.

Ketika ini, terdapat seramai 110 anggota tentera dan mereka terlatih dengan pelbagai operasi dan situasi.

ATM akan bina satu lagi HMM di Turkiye

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dijangka membina sebuah lagi Hospital Medan Malaysia (HMM) di Turkiye dalam masa terdekat.

Hospital tersebut dijangka lebih kecil dan tidak mempunyai dewan bedah seperti di Adiyaman.

Pada 11 Februari lalu, ATM menghantar kumpulan terakhir pasukan perubatannya bagi mengendalikan operasi HMM di Turkiye.

Keseluruhan 110 pegawai dan anggota ATM itu diketuai Pemerintah Operasi, Brigedier Jeneral Datuk Dr. Amran Amir Hamzah diterbangkan ke Turkiye dengan tiga fasa penghantaran bermula 10 Februari lalu menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersial.

Media Baharu