Tengku Permaisuri Selangor rasmi Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan melihat isi kandungan buku yang dilancarkan ketika berangkat ke Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku di Hotel Wyndham Acmar Klang. Foto BERNAMA

KLANG, 9 Januari – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku yang dianjurkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa UiTM di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tengku Permaisuri Norashikin merasmikan Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku anjuran UiTM dan PEMUISI di Klang.
  • Majlis menghormati dan menunjukkan kesetiaan kepada Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara.
  • Program memartabatkan seni puisi untuk menyampaikan nilai patriotik, warisan budaya Melayu dan cinta kepada institusi diraja.
  • UiTM lancarkan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu sebagai wadah kajian dan Tengku Permaisuri melancarkan Antologi Puisi Dirgahayu.

Majlis yang dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) itu diadakan sebagai tanda penghormatan serta kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara.

Penganjuran majlis tersebut turut berperanan memartabatkan seni puisi sebagai wahana penyampaian nilai patriotik, selain mengukuhkan penghargaan terhadap warisan budaya Melayu serta memupuk rasa cinta kepada Institusi Diraja dalam kalangan generasi muda dan masyarakat keseluruhannya.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam sembah ucapannya berkata, penganjuran majlis itu mencerminkan komitmen UiTM dalam memupuk jati diri, adab serta kefahaman mendalam terhadap Institusi Raja-Raja Melayu dalam kalangan generasi muda.

“Sebagai sebuah universiti awam yang lahir daripada amanah sejarah dan didukung nilai Usaha, Takwa dan Mulia, UiTM sentiasa menjunjung tinggi Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan, tonggak kestabilan kenegaraan dan lambang perpaduan rakyat.”

Menurutnya, penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar acara kesusasteraan, sebaliknya menjadi wahana kesedaran intelektual dan budaya yang menzahirkan hubungan beradab, berilmu serta bersejarah antara rakyat dan Raja Pemerintah.

Beliau menegaskan UiTM komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang ilmu dan kemahiran, malah kaya dengan budi pekerti, memahami akar budaya, menghormati Institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung tinggi nilai kesetiaan, tanggungjawab dan khidmat bakti sebagai warganegara.

Katanya, Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM yang menjadi teras penganjuran majlis itu diwujudkan sebagai wadah keilmuan untuk mengkaji, mendokumentasi dan menyebarluaskan pengetahuan berkaitan Institusi Diraja daripada pelbagai perspektif termasuk sejarah, perlembagaan dan kebudayaan.

Pada majlis sama, Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan melancarkan Buku Antologi Puisi Dirgahayu terbitan PEMUISI.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan