PETALING JAYA, 23 Ogos - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan merasmikan Bengkel Kesedaran dan Pertahanan Diri Wanita anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Aikido Shudokan Malaysia di Dewan Banquet MBPJ, di sini.
Pada majlis itu, MBPJ turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penganjur bengkel pertahanan diri wanita dengan penyertaan terbanyak di negara ini.
Datuk Bandar MBPJ, Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya berpuas hati dengan sambutan menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan seramai 1,486 peserta melepasi sasaran awal 1,000 orang.
Beliau menambah, kehadiran Tengku Permaisuri Selangor menjadi salah satu daya tarikan utama sehingga membolehkan MBPJ menerima pengiktirafan MBOR dengan penyertaan seramai 1,044 wanita dalam bengkel berkenaan.
Sementara itu Ketua Jurulatih Aikido Shudokan Malaysia dan Singapura, Ramlan Ortega Shihan menekankan kepentingan penganjuran berterusan program seumpama ini bagi meningkatkan kesedaran keselamatan diri.
“Kesedaran tidak boleh dibentuk dalam sehari. Ia perlu berterusan dengan latihan praktikal yang mudah diaplikasikan masyarakat,” katanya.
Peserta bengkel menyifatkan program itu memberi pendedahan berguna dalam mempelajari teknik mempertahankan diri sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.
MBPJ dalam kenyataan menegaskan komitmen untuk terus memperkasa keselamatan komuniti, meningkatkan keyakinan diri wanita serta membentuk masyarakat sejahtera melalui penganjuran program berimpak tinggi.
Program ini merupakan antara pengisian utama International Aikido Shudokan Training Camp 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 25 Ogos di Petaling Jaya.
Seramai 150 peserta dari 18 negara termasuk Malaysia, Jepun, Australia, Singapura, Indonesia, Korea, Amerika Syarikat, Kanada dan Perancis mengambil bahagian dalam latihan dikendalikan jurulatih antarabangsa.