fb fb fb fb fb

NADI platform perkasa komuniti, asah kepimpinan belia

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul / Foto Bernama

KUALA SELANGOR, 23 Ogos – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) disifatkan sebagai platform terbaik dan berkesan dalam meraikan perkongsian idea serta perancangan pembangunan komuniti setempat di seluruh negara.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata NADI wajar dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat sehenti serba lengkap yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan belia.

“Saya melihat NADI ini sebagai satu entiti amat berfaedah, bukan sahaja kepada negara, tetapi juga masyarakat setempat. Ia boleh dijadikan platform untuk kita bertemu, berbicara, dan membincangkan masa depan negara serta kawasan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) NADI di Pekan Ijok, di sini.

Selain menjadi pusat rujukan masyarakat, NADI turut berperanan menyokong pelaksanaan Program Sekolah Parlimen dan Parlimen Belia, yang berfungsi mengasah pengetahuan, pemahaman serta penghayatan generasi muda terhadap proses demokrasi.

Setakat ini, Sekolah Parlimen telah mengadakan 10 siri program, melibatkan ketua pengawas sekolah luar bandar dari negeri Perlis, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka yang dibawa ke Parlimen untuk didedahkan kepada fungsi dan operasi institusi itu.

“Sekolah Parlimen ini baru sahaja dimulakan. Kami terangkan kepada murid-murid tentang bagaimana Parlimen beroperasi dan fungsinya,” jelas Johari dalam sidang media selepas program.

Bagi anak muda yang berminat menceburi arena politik, bakat kepimpinan mereka pula diasah menerusi Parlimen Belia di peringkat universiti. Inisiatif itu menggunakan pendekatan simulasi penubuhan parti politik sebagai latihan kepimpinan.

Menurut Johari, setakat ini terdapat tujuh parti politik universiti ditubuhkan, yang bakal menjadi platform kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun memilih wakil mereka ke Parlimen Belia.

“Di Parlimen Belia, mereka akan berbincang mengenai isu-isu belia dan masa depan mereka. Ini pakej lengkap yang ditawarkan, dan semuanya bermula di NADI,” katanya.

Pelaksanaan penuh Parlimen Belia dijangka selesai pada November ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN