LUMUT, 3 Julai - Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan upacara pelancaran dan penamaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM, di sini.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tengku Permaisuri Selangor turut berkenan menamakan kapal berkenaan sebagai "Raja Muda Nala" yang melambangkan keazaman, keberanian dan semangat juang tokoh tersebut dalam mempertahankan kedaulatan negeri Selangor.
Sebagai simbolik pelancaran satu kendi dilepaskan ke dinding haluan kapal, mengandungi himpunan air daripada sembilan masjid yang mewakili sembilan daerah di Selangor dan telah dibacakan dengan surah Yasin oleh Imam Besar Masjid Negeri Selangor.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris serta Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Naval Shipyard (Lunas) Ir Azhar Jumaat.