fb fb fb fb fb

APAD hargai usaha pengusaha bas perkasa sistem pengangkutan awam

Ketua APAD Wilayah Timur, Mohammad Fakhri Mansor

KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menghargai usaha pengusaha bas ekspres dalam memperkasa sistem pengangkutan awam darat agar lebih moden, cekap, selamat dan mesra pengguna selaras dengan dasar dan visi agensi tersebut.

Ketua APAD Wilayah Timur, Mohammad Fakhri Mansor berkata, pihaknya mahu membangunkan ekosistem pengangkutan awam yang selamat, efisien, lestari dan berdaya saing di peringkat serantau.

Beliau turut memuji inisiatif operator bas yang melancarkan bas baharu dilengkapi ciri keselamatan dan keselesaan terkini, termasuk pematuhan kewajipan pemakaian tali pinggang keledar penumpang.

Mohammad Fakhri menegaskan pentingnya program sebegini untuk memperluaskan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bas Baharu Darul Iman Express di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Mohammad Fakhri turut memaklumkan bahawa lebih 80 pengendali syarikat bas dan lori telah menyertai tiga daripada empat program kesedaran keselamatan anjuran APAD Wilayah Timur tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Darul Iman Express, Laili Ismail menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab syarikat dan pemandu untuk mengingatkan penumpang supaya memakai tali pinggang keledar. Namun jika penumpang gagal mematuhi peraturan, tindakan saman akan dikenakan terus kepada penumpang.

Terdahulu, Darul Iman Express memperkenalkan dua unit bas ekspres dua tingkat baharu sepanjang 13.5 meter yang menggunakan casis jenama Scania dari Jerman.

TUN JULIA MOHD TAHIR